Adoii Drama Lagi, Kata Chef Wan Ulas Isu Peguam Negara Baru

Apabila sebahagian rakyat mengutamakan faktor bangsa tidak hairanlah negara boleh menjadi kucar-kacir, itu luahan seorang chef selebriti yang terkenal dengan sikap berterus-terangnya.

Menurut Chef Wan atau nama sebenarnya Datuk Redzuawan Ismail, faktor lain yang menyebabkan negara tidak harmoni ialah ramai manusia yang tidak berhati jujur.

Jelas beliau mengulas berkenaan isu pelantikan peguam negara (AG) yang baru beliau berkata bagi mengelak sejarah buruk berulang, semua pihak perlu mengutamakan integriti yang tinggi dan perlu ada bagi seseorang calon bagi jawatan berkenaan.

Pada masa sama, kata beliau aspek latar kaum calon terbabit tidak wajar dijadikan fokus utama.

Kata Chef Wan lagi, 60, tidak adil untuk menjadikan isu kaum sebagai penghalang pelantikan AG yang baharu.

“Adoi drama lagi negara kita. Kali ini dengan pelantikan peguam negara. Amat mengagumkan dengan sistem perundangan negara, boleh pula (peguam) negara menjadi pak turut..

“Patut la negara kita kucar-kacir kerana terlalu ramai manusia yang hati tidak jujur, mereka lebih mementingkan hak bangsa masing-masing di sebalik melihat kita semua sebagai Malaysia yang satu” luahnya di media sosial.

Terdahulu, Tun Dr Mahathir Mohamad selaku perdana menteri menyerahkan nama peguam kanan, Tommy Thomas, kepada Yang di-Pertuan Agong sebagai calon tunggal daripada kerajaan bagi menggantikan jawatan AG yang sebelumnya disandang Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

Apandi tidak disenangi Pakatan Harapan kerana penglibatannya dalam siasatan skandal 1MDB melibatkan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak serta isteri beliau Datin Seri Rosmah Mansor.

Pernah menjadi hakim, Apandi merupakan orang yang bertanggungjawab mengesahkan Najib tidak melakukan sebarang penyelewengan atau salah laku dalam skandal 1MDB serta anak syarikatnya SRC International.

Bagaimanapun ramai pihak tidak bersetuju Tommy dilantik menggantikan Apandi kerana dia bukan Muslim dan dicurigai bakal mengancam kedudukan Islam walaupun ia memang dijamin dalam perlembagaan.

Chef Wan atau nama sebenarnya Redzuawan Ismail berkata dalam situasi sekarang masih ramai mahu mempertikaikan calon AG kerana faktor bangsanya.

“Dan kita masih mempertikaikan bangsa asing nak dilantik menjadi peguam negara? Macam cerita menteri kewangan (lalu) pula. Yang songlap habis (duit) tu bukan orang Melayu ke?” luahnya lagi.

Chef Wan menambah isu tersebut mesti diselesaikan mengikut perlembagaan.

Berkenaan latar belakang agama, katanya, ia sepatutnya tidak menjadi isu besar kerana peranan sebagai penasihat kepada Agong boleh dimainkan oleh institusi lain yang berkaitan.

“Kita kenalah ikut perlembagaan dan pelantikan kena betul-betul manusia yang berpengalaman jujur dan sesuai untuk jawatan tersebut.

“Perihal agama, bukan ke ada badan termasuk mufti yang boleh menasihati Yang di-Pertuan Agong?” tambahnya lagi.

-malaysiakini

(Visited 5 times, 1 visits today)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *