AG Baru Ikrar Tidak Akan Lepaskan Sesiapa Pun Dalam Siasatan 1MDB

Peguam negara yang baharu Tommy Thomas berikrar akan menjadikan pengurusan prosiding jenayah terhadap dakwaan salah laku 1MDB sebagai keutamaannya.

“Semuanya sama di sisi undang-undang dan tiada siapa pun akan dilepaskan.

“Tidak akan ada cubaan menutup kes” kata Tommy dalam sidang media selepas memasuki pejabatnya hari ini.

Katanya, beliau akan meneliti kertas siasatan berkenaan dan menghubungi pihak berkuasa dalam bidang kuasa lain dalam hal itu.

Beliau juga memberitahu akan menjadikan agenda pemansuhan undang-undang yang menindas sebagai agenda utama dan memberitahu sudah mempunyai “senarai panjang”.

Tommy berjanji akan tiada lagi pendakwaan terpilih dan pihak tidak bersalah tidak perlu berasa bimbang.

“Malaysia sebuah negara yang bebas, kita tidak harus takut pada ketukan pintu di tengah-tengah malam oleh anggota polis.

“Tetapi siapa yang melanggar undang-undang akan berdepan tindakan undang-undang tidak kira apa kedudukan mereka.

“Di pihak saya, saya berjanji lakukan perkara yang betul, iaitu, bercakap benar dan tegakkan keadilan.

“Keadilan bukan saja akan dilakukan tetapi dilihat dilakukan,” tambahnya lagi.

Isu pelantikan Tommy sebelum ini mencuri perhatian selepas Majlis Raja-Raja dilapor mahukan calon beragama Islam.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V bagaimanapun semalam telah memperkenankan pelantikan tersebut semalam untuk dua tahun bermula 4 Jun.

Terdahulu, Tommy berkata beliau merasa terharu terhadap pelantikannya sebagai peguam negara yang baru dan menyifatkan pelantikan itu sebagai satu “tanggungjawab yang hebat”.

Bercakap kepada pemberita di luar pejabat firma undang-undangnya di Jalan Ara, Bangsar Tommy mengesahkan bahawa beliau telah bertemu Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad selama beberapa minit pagi ini dan akan bertemu semula esok.

Beliau tersenyum lebar sewaktu menerima ucapan tahniah atas pelantikannya.

“Terima kasih banyak tetapi lebih bagus saya tidak memberi komen sehingga mendapat surat rasmi yang saya rasa akan menyusul sehari dua lagi.

“Jadi saya rasa masih terlalu awal untuk saya memberikan komen, terima kasih kerana menunjukkan minat” kata beliau

Peguam berusia 66 tahun itu akan mengambil alih jawatan tersebut daripada Tan Sri Mohamed Apandi Ali yang sedang bercuti selama sebulan.

Ditanya sama ada beliau akan menjalankan tanggungjawabnya sebagai peguam negara di Putrajaya esok, Thomas memberitahu ia akan mengambil masa beberapa hari.

Saya tidak akan berada di pejabat pagi esok seperti yang telah saya katakan. Perlu beberapa hari untuk pelaksanaan (proses pelantikan).

-malaysiakini

(Visited 42 times, 1 visits today)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *